LUAHAN HATI JIMMY SHANLEY.. insan yang bergelar isteri patutnya bersyukur atas rezeki kerana mendapat suami yang sebegini..:-
"INAI masih merah di jari, isteri dah lari. Kami sempat duduk serumah selama 20 hari tetapi kalau diikutkan, saya hanya dapat bersamanya 10 hari. Bulan madu saya pun tidak seperti orang lain.
Mulanya rancangan diatur untuk pergi berbulan madu ke destinasi lebih jauh dan romantik tetapi kerana keadaan kami tidak seperti pasangan pengantin baru yang lain, kami rancang untuk pergi ke Koh Samui, Bangkok dan Bali saja. Itupun, apabila sampai di Koh Samui, dia dah ‘lari’. Katanya, dia hendak ke Bangkok seorang diri.
Saya dah letih hendak memikirkan apa berlaku antara saya dan dia. Perasaan saya bercampur baur. Semakin lama dia pergi, semakin jauh. Dia ada anak angkat dan dia lebih suka tidur bersama anak angkatnya daripada melayan suaminya.
Saya dah tak kuasa hendak menyembunyikan perkara sebenar kerana semua orang dah tahu. Kalau ikutkan hati, hendak jadi apa pun jadilah, tetapi bila memikirkan anak kami yang sedang dikandungnya, hati saya jadi sebak, pilu dan sedih. Apa hendak jadi dengan saya, ada isteri macam tak ada isteri.
Dia sempat bermalam di rumah saya di Putra Heights, semalam saja. Apabila dia mahu duduk bersama saya, alangkah gembira rasa hati kerana dalam angan-angan saya dapatlah kami hidup bahagia seperti orang lain.
Di rumah itu semua saya sediakan, bahkan makan minum pun saya yang buatkan. Kain baju, saya hantar dobi. Dia tak perlu buat apa-apa dan saya tak kisah asalkan dia gembira. Bangun pagi, sarapan sudah terhidang. Namun, dia lari juga dari saya. Apa lagi perlu saya buat untuk menambat hatinya, bingung jadinya.
Sejak dia keluar rumah dan tak balik lagi, setiap hari saya menunggunya. Apabila terdengar kereta berhenti depan rumah, pantas tangan menyelak langsir, manalah tahu kalau dia yang balik. Berbulan saya menunggu tetapi hampa belaka. Dah kering air mata mengenangkan keadaan rumah tangga kami.
Saya tahu dia mengandung pun daripada orang lain dan wartawan yang bertanya kepada saya. Hancurnya hati, sebagai suami saya tak tahu apa-apa mengenai isteri. Orang lain lebih tahu daripada saya.
Sudah bermacam cara saya buat untuk mengambil hatinya, tetapi dia tetap tak mahu berjumpa saya. Kalau orang lain bahagia berkahwin, tetapi saya pula hanya mendapat malu dan sengsara. Saya tidak pernah berniat menumpang hartanya atau keluarganya, cuma mengharapkan sebuah rumah tangga yang bahagia.
Sebelum berkahwin, saya tidak pernah membenarkan mana-mana media mengambil gambar rumah, tetapi selepas berkahwin saya terpaksa melakukannya untuk membuktikan saya memang mampu menyara hidup kami berdua. Saya tidak mengambil sesen pun harta keluarganya.
Sebaik saja tahu dia mengandung, teringin benar hati ini untuk menjaganya, membawanya menjalani pemeriksaan di klinik dan melihat gambar imbasan bayi kami. Namun, saya tak merasa itu semua.
Saya ini bapanya, tetapi tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya hanya boleh membayangkan saat-saat indah itu. Saya juga tak tahu bila dia hendak bersalin, khabarnya dalam sehari dua ini. Meronta hati ini untuk mengetahui jantina bayi itu.
Sebagai menyambut kehadiran orang baru itu, saya membeli peralatan bayi. Saya melihat dan membeleknya setiap hari, semakin saya memandangnya, terasa sangat sedih. Kasihan si kecil itu. Sebaik saja mendengar tangisannya nanti, saya mahu mengazankannya tetapi adakah saya akan dapat peluang itu. Saya mahu menjaganya kerana saya tahu, saya boleh menjadi bapa yang baik.
Pada awal kehamilannya, ibu mentua saya berjanji mahu menyerahkan bayi itu kepada saya tetapi sekarang rentak percakapannya sudah lain. Sudah terlalu banyak mereka menabur janji, saya tak tahu janji mana satu yang betul.
Saya serahkan segala-galanya pada Allah SWT. Bagaimana dan macam mana rupa bayi itu, saya mahu menjaganya dengan sepenuh kasih sayang.
Saya tak tahu dia ini macam mana orangnya, macam tak ada hati perut. Ke manakah pergi kewarasannya sebagai manusia. Dia lebih pentingkan kawannya daripada suami. Setiap orang ada kisah silam dan saya pun bukan orang yang sempurna.
Lupakanlah cerita lama dan bina hidup baru. Rupa-rupanya itu cuma harapan dan impian saya seorang, sedangkan ingatan dan fikirannya entah ke mana. Ingatkan selepas berkahwin, dapatlah lebih mengenali hati budi isteri tetapi kami semakin terpisah jauh.
Ketika mula mengandung dulu, alasan berjauhan dari saya kononnya tidak tahan bau badan suami. Alahan orang mengandung. Saya terima, tetapi sampai berapa lama. Orang lain mengandung juga, kalau tak tahan bau badan pun, setakat berpisah bilik namun masih tinggal sebumbung.
Dengan sekian banyak alasan, saya dah muak mendengarnya. Selepas bersalin nanti, entah apa pula alasan diciptanya. Ada juga saya dengar, selepas bersalin dia mahu membawa anak kami lari ke luar negara. Aduhai hati… sudah terlalu lama ‘engkau’ menderita. Bilakah akan berakhir.
Dalam kegelisahan dan kehampaan ini, tiada tempat hendak mengadu. Sejak kecil, emak dan ayah sudah pergi menghadap illahi. Hanya kepada Allah SWT saya serahkan segala-galanya. Dia ke umrah bersama keluarganya pun tidak minta izin saya.
Apapun, saya tetap mendoakan kebaikan untuknya dan dengan harapan tinggi menggunung moga kelahiran bayi itu nanti akan menyatukan kami semula.
Bersama sekeping hati yang duka, saya pergi mengerjakan umrah baru-baru ini. Saya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya memberi ketenangan dan kekuatan untuk menempuh hidup ini.
Alhamdulillah, sekembalinya dari Tanah Suci, saya rasa tenteram dan tidak lagi terikut-ikut kata hati. Saya akan lalui saja apa yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Untuk mendapatkan kekuatan, saya baca buku motivasi dan agama.
Sesungguhnya sebagai isteri, tidak sukar untuk mencari keredaan Allah. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Seorang perempuan yang menegakkan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan mematuhi suaminya akan memasuki syurga melalui pintu mana saja dia suka.” Andai kata dia mahu kembali kepada saya, saya sedia memaafkannya dan menerimanya. Saya mahu bayi yang bakal lahir itu mempunyai keluarga sempurna.
Imbas kembali detik melalui tempoh pertunangan, pernikahan dan malam pertama, sebaknya hati tidak terkata. Sepanjang tempoh pertunangan pun, dia tak mahu rapat dengan saya. Ada saja yang tak kena.
Dua minggu sebelum berlangsungnya kenduri dan majlis persandingan, kami ambil gambar praperkahwinan di Cameron Highlands, itu pun dah kecoh.
Oleh kerana jodoh kami kuat, kami bernikah juga. Selepas itu pun, banyak benda yang merepek-repek dan huru-hara jadinya. Tiba malam hendak bersanding, dia tetap dengan perangainya.
Jika orang lain naik pelamin dengan wajah ceria, saya rasa biasa saja. Malam pertama, pasangan pengantin baru diulit bahagia, saya pula lain ceritanya.
Jika dia tak mahu juga berubah dan masih tidak dapat menerima saya sebagai suami, tunggulah kes di mahkamah nanti. Kalau boleh, saya tak mahu masalah kami dibawa ke mahkamah kerana akan mengundang aib, tetapi saya terpaksa melakukannya kerana perlu pertahankan hak saya.
Peliknya, dia berkahwin dengan saya bukan kerana dipaksa keluarga tetapi atas kemahuannya sendiri. Pada hari jadinya tahun lalu, apabila ditanya ibu bapanya, dia mahu hadiah apa, katanya dia hendak berkahwin dan ciri lelaki yang diidamkannya adalah saya. Kami pernah berjumpa lima tahun lalu dan pernah mengambil gambar bersama.
Kebetulan ketika ibunya datang berjumpa saya, saya masih solo dan segala-galanya diatur untuk menjodohkan kami berdua. Entahlah, saya tak tahu hendak kata apa lagi. Agaknya kerana saya penyabar, Allah SWT berikan saya ujian ini.
Sesungguhnya Allah SWT berikan ujian itu mengikut tahap kemampuan hamba-Nya. Jika itulah ketentuan hidup saya, moga Allah SWT kuatkan iman dan hati ini untuk menghadapinya.
Saya tak suka hendak bercerai-berai, tambahan saya artis. Nanti masyarakat ingat, artis ini tak ada kerja lain, asyik bercerai saja. Apabila orang dah tahu kisah rumah tangga saya, hendak keluar rumah pun malu dengan jiran tetangga.
Apabila kawan datang ke rumah ajak keluar makan, baru saya keluar. Beratnya tanggungan ini. Hanya Allah SWT yang mengerti derita saya.”